Wednesday 19 December 2018

Dusta

Walau banyak mana khayalan aku cipta,
Hatta beribu kisah telah ku buku,
Dari setitik dakwat pen sekalipun,
Masih tak mampu mengubah hidupku.

Setulus mana ayatku,
Seindah mana khayalanku,
Seperit mana lukaku,
Sekejam mana kataku.

Ia masih fantasi bukan realiti.

Semua tertulis khasnya untukku,
Dukaku kadang tiada faham,
Amarahku kadang tiada perasan,
Tangisku kadang tiada ertinya.

Itulah apa yang disangka mereka,
Semuanya mimik belaka,
Pentas lakonan semata,
Pendusta bicara handal katanya.

Momen

Tiada kata lain,
Untuk menggambarkan dukanya hati,
Rindunya bukan kepalang,
Perit menanggung dibiar saja.

Titik bermulanya kenangan,
Ia begitu indah dilaluinya,
Tiap saat detik terus merakam,
Langsung pelangi berselang mentari.

Semuanya bak angin lalu,
Dirasa sekejapnya gembira,
Terus terkenang lamanya termenung,
Inilah dikatakan sakit merindu.

Setiap kenangan yang tercipta,
Ia takdir tertulis,
Walau ia hanya sebentar,
Percayalah ini paling terindah.

Buntu aku,
Dari momen menjadi memori,
Dari gembira menjadi sedih,
Dari berjumpa hingga berpisah.

Thursday 6 December 2018

Pentas

Hari kita berjumpa segar ingatannya,
Riang ku umpama tiada hari esok,
Menyaksikan kita kebiruan langit,
Seperti menunjukkan hebatnya panahan cinta,

Senyuman bertaut itulah paling bahagia,
Itulah saat luka berjahit semula,
Jika mendung tiba cahaya mentari mencerah,
Maka kalau ribut kian reda menjadi sepoi sahaja.

Sesiapa saja melihatnya akan gembira,
Walhal si penghiba menulis kisah cinta,
Bercerita fantasi puisi asmara,
Semuanya indah belaka.

Namun tiada siapa menjenguk disebaliknya,
Saat langsir melabuh tirai,
Walau dihiasi tepukan gemuruh,
Hatta dibaling bunga yang wangi.

Senyuman terus beransur kendur,
Pandangan kasih menjadi biasa,
Itulah pentas dongeng cinta,
Hanya mengikut rentak mereka.

Tiada yang istimewa,
Semuanya ala ala saja.

Lain

Tiada apa yang berubah,
Masih aku masih yang sama,
Inginkan sesuatu lantas ditinggal,
Jauh benar sukar untuk digapai.

Tiba saat aku sendiri,
Walhal ramai lagi di sisi,
Lari ku dari dunia realiti,
Mencari sesuatu keinginan hati.

Biar dikata khayalan semata,
Lantas dikata alam impian,
Di sini saja riangku saja,
Kelak pagi terhapus juga.

Tarik tirai ini,
Pegang jemari,
Genggam erat bersatu hati,
Mari cipta kisah sendiri.

Semuanya atas mampu ku,
Tiada siapa tahu,
Ini kisah ku.

Wednesday 7 November 2018

Tak mengapa

Langit cerah dikaburi awan hitam,
Beratnya dia menahan daripada terus menghujan,
Selagi mampu dia bergerak lain arah,
Agar tiada siapa tempias dek keruhnya rasa.

Tak mengapa,
Selagi senyumnya mencerah dunia,
Dia begitu gembira.

Usah risau,
Hujan gerimis hanya sebentar cuma,
Kelak pelangi muncul jua.

Bukankah ini yang diinginkan,
Menghias diri dengan senyum mentari,
Berteman kejora di malam hari,
Begitu indah hanya jadi pemerhati.

Tak mengapa,
Biarkan ia berlari laju minggir,
Tangan ini kemas melepas pergi,
Bak belon bertali dibiar lepas jari.

Tak mengapa,
Luka berdarah hanya sebentar,
Lambat laun berparut juga.

Tak mengapa,
Jika parut menjadi bukti luka,
Tutupi dengan senyuman tawa,
Semuanya kembali bahagia.

Percayalah.

Monday 5 November 2018

Halang

Bisik indah mu masih idamanku,
Damainya kian terasa,
Hangat air mata mengalir tak perasan dek khayalan semata,
Pandangan redup mu terbuai malam mimpi.

Tiup angin sepoi,
Hilangkan mendung halang bahagia,
Panggil mentari sinari hari berdua,
Kata pada dunia ini hari kita.

Khayalku itu memang semata,
Genggam lutut penat berlari,
Mengejar dikau mengajak kembali,
Ajak ku marilah bersama lagi.

Bodohnya silap ku.

Jerit hati peritnya.
Bantu ku terimalah kembali.

Kembali

Kembali lah sayang,
Ayuh ke sini datang kemari,
Genggam erat jemari ini,
Takkan lepas dek ombak lagi.

Jangan kau ungkit kisah lalu,
Biarkan ia berlalu,
Tidak hairan apa terjadi,
Teruskan bersama kembali.

Hai sayang.

Mengapa tidak kau kembali,
Laju kaki mu mengundur,
Makin ku bilang kemari,
Kian kendur senyumanmu.

Apa maksud di sebalik bayangmu,
Sungguh ku tidak mengerti,
Mari kembali sandar pada bahu ini,
Luahkan isi hati mu ingin ku tahu.

Aaaaaahhhhhhh
Sudah ku tahu salahku,
Akuinya itu silap ku,
Ampun ku pinta terima ku kembali.

Friday 19 October 2018

Khayal

Lari kau tidak mencari,
Penuh khayal inginkan kawan,
Terus bertanya pada bulan,
Inginkah menjadi teman.

Pada kau kataku indah,
Bak mahligai dirgahayu,
Siapa yang dikisah amat bertuah,
Ya akulah yang malang dengan cerita si dia yang istimewa.

Tidak ku sangka,
Rupanya aku ini biasa saja,
Tiada tempat di hati sesiapa,
Hanya kuli bila susah.

Sedang sukar ku mencari,
Ya inilah dia teman ku,
Sudah ku jumpa dialah yang satu,
Sentiasa bersamaku,
Acap kali ku sedih dia menceritakan perihal ku.

Alunan musik tanpa henti,
Didendangkan walhal telinga sakit,
Kisah apa hati ini lagi perit,
Terus khayalanku jauh mengelamun.

Khayalnya sang nyawa,
Biarkan dirimu mabuk dek perasaanmu,
Dunia mu hanya kau yang bermain seorang,
Tiada siapa lalu mengetuk pintu dukamu.



Tuesday 16 October 2018

Teman

Teman aku sang bulan,
Sungguh aku dalam kekecewaan,
Walau separuh kau terang,
Ia masih mendamaikan malamku.

Dalam sunyi malam,
Aku masih terjaga hiba,
Menanti hari esok akan baik saja,
Sedangkan jam tidak berganjak 12 tepat.

Sungguh begitu aku berharap,
Terus aku rakus menunggu berganti hari,
Tanpa menoleh mengubah diri yang lalu,
Aku masih diriku yang sama.

Hai sang bulan.

Hina sangatkah aku.
Sehingga tiada bisa percaya lagi.

Jijik sangatkah aku.
Lalu dianggap pembawa malang.

Hai bulan,
Mana bintang teman mu.
Adakah nasib mu seperti ku.
Diajak bersama akhirnya ditinggal sendiri.

Ya siang pagi itu menipu.
Ia berdusta.
Mentari itu hanya indah jika dihiasi senyuman tawa.
Maka sebagai galang ganti ia dibawa malam.

Hai bulan.
Masih kah kau menemani ku.
Inginkah kau berjauhan lagi.
Membiarkan ku melayan rasa diiringi lagu nan indah seiring perasaanku.

Makin kau kelam dikabusi awan.
Sunyi kian menyepi,
Saat manusia nyenyak dibuai mimpi,
Aku masih mencari harapan ku.

Saturday 15 September 2018

Malam

Maka begitulah cara ku,
Ku sedar bukan ku sendiri,
Ada punya nasib seperti ku,
Batas ku ia tak menonjol duri.

Sering ku pikir walangnya hidupku,
Sudah ku lupa nerangsa hati yang lain,
Saat melankolik jadi titik bicara,
Hanya keperitan saja tamadun bercerita.

Hah.
Ketawa lah bersama,
Titiskan air mata,
Lepaskan semua.

Korban darah bukan itu dipinta,
Air jernih sang mata menjadi pilihan,
Percayalah wujudnya pembunuh malam,
Saat jarum berganjak separuh jam.

Friday 14 September 2018

Bantu

Sudah kau baca siapa aku,
Sudah kau telaah ini aku.

Ya itulah aku.

Hidup ku penuh cemburu.
Aku cuma mahu apa yang ku mahu.
Tapi keliling memaksa ku.

Masa tiada henti terus menghukum,
Menyuruh ku tunduk lagi patuh,
Lakukan disuruh larang apa diminta.

Sihat tubuh dikandung badan,
Cergas mental siapa tahu,
Hati tiada rela sering dipaksa,
Apa lagi duduk dibincang.

Makin arus sunyi,
Dinampak orang ditanya lagi.

Sedar masih tiada dapat membantu.
Apa ditunggu lagi.

Henti

Penat ku meronta,
Sudah ku pohon,
Lepasku seketika,
Aku penat dipaksa.

Hidupku kian kelam.

Kau rasa,
Ku anggap kau lebih daripada disangka,
Tapi kau.

Segala tanggapan ku musnah,
Sudah ku murung kaku terpanah,
Aku bukan sesiapa.

Berhenti.

Nerangsa hati.

Aku rindu Tuhan.

Thursday 2 August 2018

Terus

Masih ku mendaki,
Harapan yang pernah kau beri,
Hingga puncak kan ku menanti,
Ku anggap itu nyawaku.

Walhal apa yang di hati,
Sudah pasti ia mati,
Tanpa syak ku selusuri,
Ya bodohnya aku terlihat sendiri.

Bagai di cucuk hidung,
Ku turuti langkah mu,
Masih aku yang tulu.

Apa yang ku tahu,
Memberi harapan pada mu.

Monday 30 July 2018

Ikut

Acap kali ku teringat hasilku,
Kian lama aku meratapi akan nasibku,
Tiada apa ubah selain di depan mata,
Pilu hati teringat lelah ku selama ini.

Bawa ku kemari impianku,
Ke mana dikau aku masih menunggu,
Mengharapkan sesuatu yang ku cintai,
Marilah ke mari lewat ku menanti.

Aku tunggu.

Walau bertahun ku berkarya,
Setitik dakwat aku tak berkira,
Sedetik masa aku biarkan saja,
Agar kau menghargai apa itu usaha.

Tapi ia masih menyepi.

Kian luntur harapan ku,
Aku masih meminta,
Apa yang ku pinta hanya satu saja,
Ku ingin ikut jejak legenda.

Lusuh pakaian tersarung badan,
Tak heran apa dikata ramai,
Sepi harapan dikandung badan,
Hingga tua aku masih ingin berdamai.

Ku ikut jejak mu,
Itu kau mahu itu ku perlu,
Hidup ku bosan tanpa hala tuju,
Fikiran sendiri jadi tak menentu.

Ya.

Setiap langkah ku hayun,
Satu bayang jadi peneman,
Diajak pagi ditandang kemari,
Bila malam ia menyepi.

Friday 27 July 2018

Mahu

Ingin ku lepaskan segala yang perlu ku lakukan,
Bagai menyeksa tiada masa untuk ku bersenang,
Menikmati indahnya rehat hanya seketika,
Walhal apa yang ku suka masih kaku diam saja.

Hai.

Biarkan aku merindui mu,
Dalam malam yang indah diterangai bintang,
Tapi masih ku dalam kesibukan paksa,
Ya aku masih tidak rela dengan semuanya.

Aku rindu.
Berpuisi di dunia sendiri,
Khayalan minda sedar tak sedar,
Jejak badan fikiran melayang.

Bila lagi boleh ku ulang semula.
Hentikan masa,
Biar jariku saja yang bergerak,
Biar minda ku berkhayal,
Biar aku hidup dalam walang.

Benar aku sungguh tulu.

Apa yang ku inginkan hanyalah kasih buat diriku.
Tapi apa yang datang hanyalah buih ombak.
Datang membawa harapan lama lagi palsu.

Aku rindu.
Apa yang aku mahu.
Adalah kemahuan ku.

Tuesday 17 July 2018

Rimas

Capai tangan ini,
Keluarkan aku dari kancah dunia,
Penuh taksub lagi keji,
Jauhkan diri lari sang jiwa.

Sungguh aku rimas,
Ya dengan janji pasti,
Tulus seikhlas hati,
Maka dibiarkan hingga pupus sendiri.

Lepaskan aku,
Hebat taktik mu,
Jujur ku terpedaya,
Sungkur ku di hujung jari kakimu.

Banjingan.

Biar ku jadi siapa diriku.

Mengapa aku ikut arus yang lain.

Tiada jalan kah untuk aku cipta sendiri.

Sumpah aku rimas.
Dunia ini kian panas.

Thursday 14 June 2018

Kotor

Bila hati terdetik ingin berpuisi,
Walaupun malam kian larut,
Kuyu mata berniat beradu,
Tidak ku biarkan ia berlalu tersimpan begitu.

Maka izinkan aku,
Berpuisi seperti selalu,
Biar aku mengerti jiwa ku ini,
Tusuk biar hingga kalbu.

Sekecil kuman ku terasa,
Peritnya walau sebentar,
Tergores sekian lama berdiam,
Jangan biar kau ku berdendam.

Hei.

Apa saja aku mahu,
Kau tutup mulutmu,
Pergi kau dari hidupku,
Semak saja di fikiran ku.

Takkan ku biarkan nama mu terbit dalam bait kata penulisanku,
Kau siapa!
Kau orang yang aku benci.

Sungguh aku tidak mengerti,
Mengapa harus malam ku dibaziri hanya memikirkan kata sehalus sutera untuk mu.
Menjadikan ku rungsing saat ia dibaca semula.

Sedar separuh sedar,
Ya kau hanya mengotori,
Setiap apa yang telah terbukti,
Lalu ku biarkan saja.

Mengatakan kau sememangnya begitu kotor.

Tuesday 12 June 2018

Kosong

Sunyi malam makin membingit.
Seakan mengerti hujan di hati.
Kerlipan bintang makin terang kian larut malam.
Maka bermulalah duniaku penuh kelabu.

Ya, inilah aku.

Bukan, itulah dia.

Kau sering kali tertipu,
Hatinya penuh parut tak berjahit,
Luka itu dibiar sembuh dengan senyuman,
Keparat langsung tiada siapa mengerti.

Dia benci akan dirinya,
Ya dia bersendiri acap kali waktu berubah,
Dari terang dunia hingga malapnya angkasa,
Irama sama seperti jiwanya kala itu.

Harus dia perlu tenangkan hatinya,
Jangan biar yang lain terjaga dek esakan tangisnya,
Tepuk bahu angin malam bisik kata asmara,
Maka terhentilah hentakkan kuat jiwa memberontak.

Jiwanya sakit,
Hatinya perit.


Lepas kemari

Kan ku biarkan dirimu.
Seperti mana yang kau mahu.
Pajak apa yang telah lama terbuku.
Pinta hajat agar benar dan tulus.

Tak sekali aku halang.
Itu apa yang kau ingini.
Terus apa harus memujukmu.
Jikalau hati tidak mahu.

Tiada lagi ikatan padamu.
Di tiang batu tali berduri.
Tahu nanti kau disakiti.
Aku lebih rela diri ini dibebani.

Ya kita telah berjanji.
Apa yang terjadi biarkan terjadi.

Sudah aku lepaskan mu apa lagi kau kemari.
Ada baki harus kau tuntut dari ku.
Marilah ke sini,
Hati ini sentiasa terbuka.
Untuk mu yang aku sayangi.

Wednesday 30 May 2018

Aneh

Ingin kali aku terbang ke angkasa,
Melihat bulan makin hampir kian indah,
Biar diri ini tenang dari kancah dunia,
Menikmati keajaiban tiada kerlipan.

Mahu kau tunjuk usaha mu,
Yang kusut lagi diragu,
Entah kau bukannya begitu,
Bahkan tiada siapa tahu.

Anggap sajalah ini yang termampu,
Sudah cukup kau kenyang dek tomahan,
Usah kau teruskan apa yang terdaya,
Aku kenal siapa dirimu.

Kau dilihat aneh,
Sangka mereka kau ini pelik,
Berdiri bagai berkaki raksasa,
Jiwa penuh mendabik dada.

Acap kau berubah,
Hari ini lain,
Esoknya lain,
Lusa kau kembali sama.

Masih kau mahu dengan pendirian mu,
Apa waktu mahu menunggu kejayaan mu,
Siapa ingin kau yang berpenat lelah,
Mereka tiada pandang itu semua.

Apa yang mahu mereka hanyalah hasil yang benar berubah ketara.
Selagi belum wujudnya ia, kau masih aneh dipandang hina.

Wednesday 16 May 2018

Lekas

Kemarilah sang malam,
Aku merindui mu,
Siang seakan lama tiada kelam,
Aku ingin kali bersua dengan mu.

Segala isi hati ini terlalu penat,
Aku perlukanmu,
Tidak ku benarkan air ini mengalir,
Biar dilihat orang,
Itu hanya memalukanku.

Lekas dikau kemari,
Mari ku sandar padamu,
Tepuk bahu ku selembut dirimu,
Bisik padaku kata indahmu.

Mengapa begitu perlahan waktu,
Aku perlukanmu.

Ya benar,
Aku perlukan mu.

Lekas lah kemari.
Bantu aku.
Lekaslah.

Friday 27 April 2018

Halau

Kian lelah aku dibadai ombak,
Taburan pepasir pandang langsung, 
Tiada niat berlembut hadap tuan,
Patah setiap tulang sepi dipandang.

Pagi yang dianggap membawa bahagia,
Tidak perasan bayang hitam mengejar,
Lari kau namun penghujung tiada,
Hembusan lelah kuat terus didengar.

Ya apa lagi mahu kau hidup,
Dunia ini tak memerlukan mu,
Langit ini sedang mengejekmu,
Sedarlah apa darjatmu di alam ini.

Usah menunggu angin sepoi menyapamu,
Kerana taufan saja ingin menyinggahmu,
Salam khabar tiada henti,
Tamparan itu cukup buat dirimu mengerti.

Thursday 29 March 2018

Usah

Wahai sayang,
Usah kau tangisi nasib yang menimpa mu,
Bukan ia datang bagai musuh,
Tapi hadir untuk menguji.

Duhai sayang,
Kenapa masih bersedih,
Meratapi segala nasib,
Yang tidak jemu mengelilingmu.

Hai sayang,
Berbahagialah dikau,
Ingati lah saat kau gembira,
Kala senyum tabir di bibirmu.

Usah sayang,
Kau terlalu memikir akan nasib malangmu,
Menceriakan hari mereka dengan panggilan mentari,
Namun di hatimu pantang kilat tak lari.

Hei sayang,
Sudahlah engkau begini,
Tiada sapa dari yang lain,
Maka engkau bersendiri.

Cukup sayang,
Sudah tiba kau menghentikan semua ini,
Tiada siapa menghargai dirimu lagi,
Kau sedia tahu apa yang selalu.

Usah sayang,
Biarkan dirimu seperti biasa,
Lantas mereka rasa akan jiwa,
Yang tak pernah wujud atas dasar anggota.

Thursday 22 March 2018

Diri

Dendamku biar kesumat,
Lain ku benci pada lain aku balas,
Seksaku biar dia rasa,
Apa kau pikir aku ini kejam.

Segalanya ku lepas,
Aku tau kau mampu,
Lagu itu cukup untuk menghinamu,
Aku lebih mengenali siapa.

Rintihanmu diendah,
Jeritanmu dibuat pekak,
Tangisanmu seakan irama,
Air matamu sudah mampu diselam lautan.

Aku puas,
Aku ketagih,
Ia seakan rutin ku.

Dengarlah wahai hati,
Apa jasamu pada diri ini,
Hanya memburukkan ragaku,
Mendatangkan bala setimpal padaku.

Ini kejam.

Apa aku seorang saja yang merasainya,
Padalah katanya diri ini punya sembilan nyawa,
Setiap satu dijadikan korban perasaan,
Membunuh biar tidak tinggal kesan.

Friday 9 March 2018

Hargai

Maaf diri,
Aku tak menghargaimu.
Tanpa rasa syukur aku menyeksa mu,
Terlalu pasif aku menjagamu.

Semuanya luar jangkaan ku,
Hargai yang lain walhal bukan milikku,
Aku tak punya semangat untuk menjiwaimu,
Aku merebahkan dirimu terus jatuh.

Aku melukaimu,
Dengan rasa bercampur baur,
Aku menyimpan dendam padamu,
Tanpa rasa ingin meluah,
Aku terlalu kejam kepadamu.

Aku membiarkan mu,
Mendung namun tak berhujan,
Menyuruhmu sentiasa ceria,
Untuk menunjukkan pada yang lain...

Wednesday 28 February 2018

Pasrah

Aku terlalu berserah,
Pada sesiapa saja walaupun sebentar cuma,
Namun sakitnya tidak terkata,
Hingga akhirnya tetap berduka juga,
Mengapa aku begitu lemah.

Ke mana perginya segala kekuatan jiwa,
Sudah luput dek umur remaja menjelma,
Harus apa aku lakukan untuk kekalkan nyawa,
Ia seperti menjadi kebiasaan hidupku.

Aku pasrah,
Kenapa aku begini,
Ahhhhh aku benci.
Benarkan jiwa ini mati.

Monday 29 January 2018

10:15

Kenapa baru sekarang kau tanya,
Kenapa di dalam kedukaan menjelma,
Kenapa di kala gembira kau percaya,
Kenapa kau mudah ditipu dengan perasaannya.

Kenapa kau mula membuka kata,
Kenapa kau memberi tanda bicara,
Kenapa di saat aku hanya dalam kecewa,
Kenapa kegembiraanku terlalu jelas ternyata.

Kenapa...

Salahkah aku menutup rahsia,
Salahkah aku tidak menyata rasa,
Salahkah mulutku terkatup rapat,
Salahkah aku berdiam diri penat.

Salahkah aku berlakon seperti kau,
Salahkah aku menyimpan duka seperti kau,
Salahkah aku hanya berdiam saat ditanya seperti kau,
Salahkah aku buat seperti engkau.

Salahkah...

Aku lebih suka mentari menyinari pagi,
Membiarkan ia menerik panas,
Membahang sesiapa saja,
Dia bukan sang malang juga sang ceria.

Biarkan hujan angin di tengah malam,
Menunggu beratnya menyimpan rasa,
Bila tiba waktunya maka hujanilah ia,
Itu yang dinantikannya.



Rehat

Izinkan aku rehat,
Aku terlalu lama berpenat.

Mungkin engkau tidak nampak.

Aku selalu bersama sang gembira,
Sehingga sang duka bermasam muka,
Ingin juga berdamping denganku,
Meminta untuk selalu tanpa mengira waktu.

Aku hanya pinta,
Aku terlalu mendengar kata,
Buruk ayat orang itu aku pegang,
Sehingga manis bicara tiada masuk telinga.

Tanya mereka bila aku menunjuk rasa,
Bukannya aku ini lemah,
Aku terlampau makan kata,
Memandangnya terlalu negatif.

Mengapa tiada rehat untukku,
Salahkah aku pinta hanya satu,
Ibu bantulah aku,
Ayah aku mahu ikutmu.